KAEDAH YANG BOLEH MEMBANTU MENGURANGKAN ATAU MENGATASI TEKANAN DALAM MENGHADAPI DUGAAN HIDUP.

# Senyum

Hadapi tekanan, jangan terus bermasam muka atau mengeluh. Kita senyum dahulu. Bila kita senyum, pasti sedikit tekanan akan reda. Cubalah, pasti merasai kelainan.

# Bertenang

Janganlah serabutkan lagi keadaan yang sedia ada. Tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan secara perlahan-lahan. Cuba elakkan diri daripada membuat sebarang keputusan dalam keadaan tertekan. Membuat keputusan jangan berdasarkan emosi dan perlukan perincian sebelum sebarang keputusan dibuat. Keputusan yang dibuat dalam keadaan tertekan dikhuatiri boleh timbul kemudaratan daripada keputusan tersebut.

# Peluk sesuatu

Anda pasti akan rasa lebih tenang dan damai di dalam hati jika dapat memeluk makhluk lain. Maksud di sini jika anda mempunyai teman baik perempuan sama perempuan anda peluklah dia, dengan cara ini ia dapat meredakan sedikit tekanan atau kemarahan anda.

# Lavender

Bagi yang suka pada aroma terapi minyak pati lavender amat sesuai sekali untuk meredakan tahap tekanan anda. Ini kerana minyak Lavender dikenali sebagai herba penenang yang boleh mengurangkan tekanan.

# Bertindak

Kita hanya mendapat imbuhan dalam hidup ini dengan bertindak. Pengalaman stres memerlukan reaksi. Dalam banyak hal reaksi ini ialah "lawan atau lari". Dengan lain perkataan kita mengatasi masalah dengan taktik lawan iat itu berkonfrontasi, bersikap asertif dan positif, atau dengan mengunakan taktik lari iaitu mengelak, relaks dan tidak mengindahkannya. Selain dari lawan dan lari reaksi ketiga yang mungkin terjadi ialah terus kaku. Reaksi kaku yang biasa dimanifestasikan ialah panik, kebimbangan, keraguan, melenggahkan kerja, dan bersikap "kalau lah...".

Jadi bila berdepan dengan stres, dari terus berada dalam keadaan gelisah dan kebimbangan, adalah lebih baik mengarah diri untuk memikirkan "Apakah yang boleh saya lakukan sekarang ini untuk mengurangkan stres?". Dan kita akan sedar bahawa selepas 15 minit melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan, kita akan makin hampir dengan penyelesaian. Dengan melenggahkan penyelesaian beban stres akan terkumpul dan adakalanya menjadi kronik.

# Langkah demi langkah

Semasa mengalami stres perkara yang perlu dikerjakan akan dirasai begitu besar dan sukar. Jika kita memikirkan secara keseluruhannya maka kita mungkin sukar untuk memulakan usaha kita. Jadi rancangkan tugas dan tanggungjawab anda kepada bahagian-bahagian yang kecil dan lakukan serta bereskan satu persatu. Ingat, perjalanan yang jauh itu bermula dengan langkah yang pertama.

Buatkan senarai mengikut kepentingan kerja dan buat satu persatu mengikut kadar yang kita mampu. Mungkin untuk setiap senarai kerja yang kita mampu bereskan kita boleh menghadiahkan diri kita dengan sesuatu yang kita idam-idamkan. Langkah ini adalah baik untuk terus menggalakkan usaha kerana ia akan mengukuhkan semangat kita untuk mengulangi kejayaan yang sama atau yang lebih baik.

# Menukar perspektif

Sesuatu masalah ada lebih dari satu penyelesaian. Cari pendapat baru, sudut baru, pemerhatian yang lebih teliti, mejauhkan diri dengan cara melihat masalah kita itu dari kedudukan orang lain adalah di antara permainan minda yang boleh membantu mengawal stress. Ketawa, relaks, senaman, meditasi, sembahyang, komunikasi, hiburan, persahabatan adalah cara-cara praktikal untuk mengurangkan stress.

# Bersendirian

Memencil diri untuk mencari ketenangan seketika. Renungkan kembali apa yang berlaku dan ambil iktibar dari sudut yang positif setiap perkara yang terjadi itu kemudian perbaiki pada keadaan yang lebih baik.

# Ceria

Janganlah bebankan fikiran dengan semua perkara yang ada di sekeliling anda setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita hidup di dunia ini hanya untuk sementara jadi, nikmatilah hari ini dengan seadanya.

# Kasih sayang

Terapi yang mudah kita dapat melalui kawan-kawan, anak-anak atau pasangan (yang berkahwin), anak saudara, ibu bapa. Kasih sayang daripada mereka adalah sumber kekuatan anda dan sebenarnya anda tidak berseorangan di dunia ini.

Perkongsian masalah dengan individu yang dikasihi akan menggandakan keseronokkan dan mengurangkan penderitaan. Setiap kita mengalami kesukaran kehidupan yang membolehkan kita berkongsi cara-cara penyelesaian. Pengasingan dan kesunyian boleh menukar perpektif ke atas masalah menyebabkan masalah itu dirasai lebih berat.

# Berbuat baik dan berkhidmat sesama insan

Cuba kurangkan perbuatan dari menyakiti hati orang di sekeliling. Jadilah insan yang berhati luhur dan pemaaf. Berlapang dada dengan tekanan yang mendatang.

Khidmat kepada orang lain juga mendatangkan lebih makna dalam kehidupan. Ini amat penting jika seseorang itu begitu banyak masa terluang, kerana berada dalam keadaan bosan juga adalah merupakan satu bentuk stres. Gunakanlah masa sebaik-baiknya dan masa yang terluang paling baik jika dihabiskan ke jalan kebaikan kepada orang lain.

Dalam melakukan kerja rasmi juga kita sepatutnya memasukkan semangat dan keinginan untuk memberi khidmat dan bantuan yang sebaik-baiknya. Contoh yang paling senang ialah dengan menampilkan wajah dan senyuman yang mesra bila berhadapan dengan mereka yang memerlukan khidmat anda.

Sesungguhnya banyak sumbangan yang boleh kita berikan tanpa melibatkan sumber luar dan wang ringgit. Kelakuan yang cergas dan perilaku yang ceria akan dapat menukar perasaan ke arah yang lebih ceria juga.

# Keberanian

Stres berganding erat dengan ketakutan. Takut kegagalan, takut dalam pengharapan, takut perubahan, takut keseorangan, takut imej diri yang tidak baik, takut kejayaan, takut akan tidak dapat melakukan sesuatu adalah di antara bermacam-macam jenis takut.

Takut seperti juga stres ada positif dan ada negatifnya. Langkah pertama kepada pengawalan stres ialah keberanian, berani untuk menerima perasaan takut dan mengawal atau menakluki ketakutan itu. Bila berhadapan dengan ketakutan adalah lebih wajar mengambil kira hakikat/realiti dan bukan dogengan atau kebimbangan yang tidak realistik. Penawar paling baik kepada takut tidak dapat melakukan sesuatu ialah dengan terus melakukannya.

# Penerimaan

Banyak orang telah mengalami stres tetapi terus dengan cara kehidupan yang sama dengan menggunakan penafian. Seseorang itu akan menggunakan mekanisma minda untuk mempertahankan diri dari sedar akan keadaannya yang sebenar. Contohnya seorang perokok itu menidakkan keadaan paru-parunya yang tidak sihat dan mengatakan merokok itu baginya melegakan stres.

Mekanisma mempertahankan diri ini agak sesuai dalam mengendalikan diri semasa berhadapan dengan stres yang besar tetapi bukan cara yang baik untuk mengatasi masalah atau stres yang berpanjangan.

Pengawalan stres yang berjaya ialah dengan bersikap "Apa yang boleh dilakukan" dan tidak "Kalaulah…". Dengan penerimaan dan bertindak melegakan stres yang memudaratkan akan membantu diri kita hidup dalam keadaan sihat dan cergas.

# Mendengar dan memerhati keadaan badan

Dengar dan memerhati diri dan bahasa badan. Kebanyakan masanya kita mengabaikan petanda-petanda awal akan keadaan diri yang tegang. Contohnya seseorang itu akan terus hisap rokok walaupun kerap batuk dan sesak nafas, terus mengambil lebih banyak kerja walaupun badan mengalami keletihan dan perasaan mudah terganggu.

Ada kalanya stres lebih meningkat kerana kita mengabaikan signal-signal awal yang dikeluarkan oleh tubuh kita.

# Ekspresi

Kawan yang paling bernilai adalah mereka yang boleh mendengar dengan baik. Memendam rasa dan kebimbangan akan menyuburkan lagi stres. Dengan melahirkan kebimbangan atau ketakutan adalah langkah pertama membolehkan diri berhadapan dengan stres, mengawalnya dan seterusnya melepaskan stres tersebut.

Berhadapanlah dengan stres, dengan bercakap, menulis, menyanyikannya, ketawa, menangis dan lain-lain lagi. Cara ini membantu kerana dengan melahirkannya, akan menjelaskan dan meletakkannya sesuatu konflik kepada perpektif yang lebih objektif.

Ekspresi menggalakan penyembuhan. Menulisnya boleh membuatkan yang subjektif lebih objektif, yang tak sedar dibawa kepada kesedaran dan yang tak terlahir kepada yang dilahirkan. Tulis tanpa tapisan, bebas, berterusan dan tampa kritikan. Selepas itu simpan kertas itu ditempat yang selamat, dan analisanya secara objektif tanpa terlalu beremosi, 1 jam, sehari atau seminggu selepas itu.

Satu lagi cara ialah dengan menulis diari stres setiap hari. Dengan cara ini kita akan lebih peka akan pertalian pemikiran dan perasaan kita dan seterusnya dapat memperbaiki bentuk-bentuk pemikiran dan perasaan yang negatif.

# Falsafah Kehidupan

Stres begitu merbahaya apabila ia sampai ke peringkat di mana kita hilang keupayaan melihat sesuatu dalam perpektif yang sebenarnya. Peribahasa Parsi, "Saya meratapi ketiadaan kasut, sehinggalah saya menemui seorang yang ketiadaan kaki". Menyelami penderitaan yang dipaparkan oleh orang yang lebih tidak bernasib baik, sepatutnya membolehkan diri kita berdepan dengan masalah peribadi yang kita alami.

Selain dari membandingkan diri dengan orang yang lebih tidak bernasib baik, kita juga boleh membandingkan masalah sekarang dengan masalah-masalah lalu yang telah kita atasi dengan jayanya. Latihan ini membolehkan diri kita mengingati yang kita ada kekuatan dan kebolehan.

# Pemikiran positif

Peribahasa Cina mengatakan "Lebih baik menyalakan lilin dari menyumpah akan kegelapan". Semasa mengalami stres ada kalanya minda kita seolah-olah diprogramkan supaya hanya melihat dan memikirkan perkara yang negatif sahaja. Rasa tidak terdaya, rasa di singkir, rasa tidak disayangi, rasa tiada harapan dan lain-lain.

Dikala berfikiran negatif ada kalanya baik kita memikirkan :
1. Apakah kekuatan saya? Kenalpasti kemahiran, kebolehan dan bakat yang ada.
Sedarkan diri kepada apa yang kita boleh buat. Jangan hiraukan apabila minda cuba mengatakan "TIADA atau TIDAK".

2. Tanya pada diri "Apakah pengajaran yang tersirat dalam stres ini?" Berhenti dari mencari kesalahan orang lain, dan buat perubahan yang perlu pada diri. Dengan hanya melihat kepada salah orang lain dan mencuba menukar sikap orang lain, kita hanya menambahkan stres kepada diri sendiri.

3. "Apakah peluang yang ada dalam stres ini?". Berhenti dari terus memberi fokus kepada jalan mati atau sesuatu yang tidak dapat diubah.

# Reaksi Dalaman

Adakalanya kita tidak dapat menghindarkan sesuatu yang tidak baik dari terjadi pada diri, walaubagaimanapun kita boleh memilih cara kita bereaksi kepadanya. Pilih reaksi merelakan dan meredakan jika sesuatu keadaan itu sudah pasti tidak dapat diubah lagi.

# Kesyukuran

Stress yang merbahaya boleh terhasil kerana kepercayaan kita - iaitu kepercayaan yang kehidupan ini penuh dengan beban dan masalah. Jika ini kepercayaan kita maka kita mudah lupa untuk bersyukur ke atas sesuatu yang baik yang ada pada diri kita. Hilang kesyukuran bermakna kekurang kekuatan dalam diri.

Banyak masanya kita lupa erti kebolehan melihat, bernyawa, mendengar, membaca, berdiri, bercakap, merasa, dan lain-lain lagi. Mungkin jika kita sudah kehilangannya barulah kita dapat menghargai bertapa indah dan nikmatnya keupayaan-keupayaan tersebut.

# Mengeluarkan peluh

Bersenam adalah cara yang sangat penting dalam melegakan stres yang terkumpul. Aktiviti fizikal juga dalam kadar yang berat dan sederhana berat akan membuat badan kita mengeluarkan hormon endorfin, yang seakan sama dengan morfin. Oleh kerana ia dikeluarkan dari dalam badan dengan kadar yang terkawal dan bersesuaian maka ia banyak mendatangkan rasa kelegaan dan akan mengukuhkan semangat seseorang untuk meneruskan aktiviti fizikalnya itu.

# Dapatkan sokongan

"Seseorang itu merasa sunyi kerana ia cenderung membina pagar dari membina jambatan". Sokongan dari keluarga, kawan-kawan, ahli komuniti, profesional dan pertubuhan kebajikan boleh meringankan stres yang terhasil dari krisis kehidupan yang besar.
Adakalanya menyertai kumpulan-kumpulan pengurusan stres yang profesional boleh membantu menguruskan diri dan mempelajari cara-cara menggunakan stres untuk kebaikan dan mengawalnya dari menekan diri sehingga kemudaratan.

sumber: http://imzaron.blogspot.com