Kamera Web

1.Login wajah
Aplikasi pengenalan muka sebagai login peranti telah digunakan pada beberapa model laptop seperti Toshiba dan Lenovo, juga pada smartphone dan tablet. Tetapi, anda perlu tahu bahawa ia juga boleh dilakukan di komputer dengan menggunakan kamera web. Menerusi perisian LemonScreen anda boleh duduk depan komputer, imbas muka dan mula menggunakan komputer Windows anda. Jom buat beberapa mimik muka!

2. Buat siaran langsung
Kini, sangat mudah untuk anda bersiaran langsung di Internet dengan menggunakan kamera web. Ia telah lama digunakan negara luar dan Malaysia sedang menunjukkan perkembangan. Untuk tujuan ini,  anda boleh menggunakan Ustream, iaitu perkhidmatan yang membawa video ke web secara langsung dengan mudah. Untuk menggunakan Ustream, anda hanya memerlukan sedikit kepakaran dan pemasangan plug-in Flash pada pelayar web anda.

3. Jadikan CCTV
Anda mungkin ingin memantau keadaan di rumah atau pejabat apabila tidak berada di sana. Memang banyak pilihan kamera CCTV tetapi ia melibatkan kos yang besar. Namun menggunakan kamera web yang diaktifkan oleh alamat IP tersendiri, anda boleh sambungkan ia ke rangkaian dan memantau rumah menerusi aplikasi web. Gunakan komputer anda sendiri sebagai pelayan, dan pemantauan dilakukan oleh server kamera web anda sendiri. Pemasangan beberapa perisian pihak ketiga juga membolehkan anda mengawal sudut pandangan kamera secara jarak jauh.

4. Tangkap pencuri
Ia adalah sesuatu yang sangat menarik. Hanya untuk pengguna Mac, anda boleh memasang aplikasi iAlertU yang akan bertindak sebagai penggera dan secara pantas bertindak balas mengambil gambar ‘pencuri’ yang menyentuh Mac anda. Bagi yang tidak tahu, aplikasi ini telah lama diperkenalkan untuk keselamatan tambahan dan memuat naik gambar ‘pencuri’ kepada pelayan FTP secara automatik. Dengan sedikit penambahan skrip pada Mac, anda boleh mengambil gambar setiap percubaan login tidak sah untuk tahu siapa yang cuba buka komputer anda tanpa kebenaran.

5. Perbualan Video
Dulu fungsi ini dianggap futuristik dan telah diilhamkan dalam beberapa filem cereka dan sains fiksyen. Namun hari ini anda boleh melakukannya dan bukan sekadar mengambil gambar depan komputer. Luaskan penggunaan kamera web untuk bersembang di talian sama ada menerusi Skype atau platform sembang percuma lain yang ada.

Kamera Digital & Telefon Bimbit

6. Lot Letak Kereta
Pernah anda tersesat di lot letak kereta? Jika tidak mahu digelar pelupa atau panik tidak semena-mena kerana memikirkan kereta sudah hilang, gunakan kamera digital atau kamera telefon bimbit anda. Ambil gambar penanda dan nombor lot tempat letak kereta jika sedang keseorangan. Mungkin kelihatan lucu, tetapi kami pasti anda salah seorang yang pernah melilau mencari kereta di pusat membeli-belah.

7. Alat rujukan
Memulakan projek yang memerlukan anda membuka satu persatu perkakasan bukanlah kepakaran setiap orang. Perkara-perkara seperti memasang paip, membaiki pembersih vakum di rumah dan lain-lain sepatutnya boleh dilakukan dengan mudah jika anda tahu keadaan sebelum dan selepasnya. Jadi, ambil gambar barangan sebelum kerja-kerja pembaikan dibuat dan lakukan mengikut aturan. Selain itu, jika sukar untuk menerangkan tentang barang rosak di rumah, ambil gambar dan tunjukkan kepada tuan kedai masalah anda.

8. Penyimpan maklumat
Ketika anda sedang bercuti di luar negara, tiba-tiba telefon pintar anda kehabisan bateri menyebabkan anda tidak dapat menggunakan GPS. Maka persediaan yang paling bijak ialah rakam imej peta atau pun penunjuk arah penting dengan kamera digital anda. Cari peta yang besar, lengkap dan anda turut boleh zoom untuk lebih jelas. Jangan terlalu bergantung pada satu pilihan.

9. Kanta pembesar
Bukan semua tulisan pada surat khabar, bukau atau majalah mengikut spesifikasi pandangan anda. Tulisan yang terlalu kecil sukar untuk dibaca dengan mata kasar. Sedangkan cetakan halus inilah yang memainkan peranan penting sebagai maklumat yang patut diketahui oleh anda. Jadi apa penyelesaiannya? Ambil gambar teks ini dengan kamera digital atau telefon bimbit yang rata-ratanya sekarang memiliki megapiksel yang bagus. Zum sehingga anda dapat membacanya. Anda tidak pernah terfikir bukan, nah sekarang cuba.

10. Arahan visual
Kadangkala ada perkara yang anda ingin sampaikan kepada pekerja atau rakan, yang boleh jadi terlalu teknikal dan mementingkan aturan yang betul, sedangkan anda tidak berada di depan mereka. Arahan melalui tulisan belum tentu membantu. Bercakap pula tidak dapat menunjukkan secara visual. Jadi, ambil masa sedikit dan rakamkan setiap aturan yang betul dan berikan kepada pekerja atau rakan anda untuk mengikutinya. Jika anda melukis sekalipun, minta seseorang untuk merakam langkah demi langkah lukisan atau carta anda untuk dilihat dan diikuti pekerja.


sumber : http://majalahpc.karangkraf.com/kamera-bukan-untuk-ambil-gambar-1.105428